Sun 10 Aug 2008

Pernahkah anda berjumpa kumpulan yang menggunakan kanak-kanak untuk menarik perhatian orang awam untuk menjual kalendar, ubat sapu di hadapan bank dan tempat-tempat awam yang lain? Sedihnya melihat anak-anak berumur belasan tahun disuruh meminta sumbangan wang dengan menjual kalendar. Kanak-kanak ini pula berumur antara 6 hingga 15 tahun mengikut perkiraan saya (ya, anak berumur 6 tahun! Saya pernah jumpa dan tanya umurnya). Kebanyakan kanak-kanak ini pula wajahnya muram, bercakap mengikut skrip dan apabila ditanya hal-hal lain mereka enggan jawab atau mata sahaja terkebil kebil. Kebanyakan mereka nampak lemah, kepanasan, mungkin haus atau lapar atau tidak cukup tidur dan jelas sekali keletihan (kebanyakannya cengkung dan kurus-kurus belaka). Siapakah yang merekrut mereka? Dan ingin sekali saya tahu apakah dalam fikiran pihak-pihak yang menggunakan kanak-kanak untuk menjual barang-barang dengan alasan untuk membina sekolah agama di Kedah, Kelantan, Selangor? Tak bersekolah kah kanak-kanak ini? Betulkah untuk membina sekolah agama? Mengapa menggunakan kanak-kanak? Dan jauhnya orang Kedah hantar budak-budak ini untuk meminta sumbangan di KL? Mengapa semuanya mesti bersongkok dan bertudung? Kejamnya Muslim di Malaysia hinggakan kanak-kanak seagama dan sebangsa kita terpaksa meminta sumbangan wang semacam itu untuk bina sekolah dan asrama mereka?
Memang tak sampai hati melihat kanak-kanak meminta sumbangan wang dan kita akan hulur juga wang tetapi dalam hati mestilah terfikir bagaimana dengan nasib kanak-kanak ini nanti. Sepatutnya masa dihabiskan dengan menelaah pelajaran, tuisyen, beriadah sepertimana kanak-kanak normal di luar sana. Tetapi mereka sebaliknya, sangat muram dan letih kerana terpaksa mengulang skrip ‘meminta sumbangan’ yang sama dengan beratus mungkin beribu orang manusia dalam sehari demi mengisi kantung wang yang dibekalkan oleh ‘pengetua’ yang tentunya kita tak kenal! Bayangkan jika mereka perlu melakukan ini bertahun-tahun? Apa akan jadi dengan mental kanak-kanak Muslim ini? tidakkah sudah set dalam fikirannya, “kerja aku adalah untuk meminta-minta”. Tiada daya kompetetif dalam minda mereka. Entahlah saya pun tak tahu efek jangka masa panjang pada kanak-kanak ni.
Saya tidak salahkan kanak-kanak ini dan kita sedia maklum adalah tanggungjawab kita untuk membantu sesama Muslim dengan bersedekah dan berzakat. Tetapi saya kesal kerana ada pihak yang mempergunakan kanak-kanak untuk meraih simpati. Yang saya ingin tahu hanya satu. Siapa yang merekrut kanak-kanak malang ini…??
Anyway, kepada mana-mana badan kebajikan di Malaysia yang sedang tercari-cari orang/ pihak untuk diberikan sumbangan (kerana saya dengar susah nak mengesan orang-orang miskin di Malaysia), saya cadangkan anda dekati ‘kumpulan kanak-kanak’ ini untuk diberi bantuan. Mereka beroperasi di kawasan rehat highway, di hadapan bank-bank, hadapan Tabung Haji di sekitar Bangi. Manalah tahu kanak-kanak ni tidak perlu lagi bertungkus lumus ‘mengejar’ orang awam untuk jual kalendar dan minta sumbangan. Kasihan mereka..