Menteri Pelajaran yang terus diasak dengan isu yuran dan pembayaran tambahan persekolahan semalam menetapkan noktah kepada isu itu. Kepada ibubapa yang masih lagi mempertikaikannya mahupun sudah membuat pembayaran, mereka boleh menuntut semula wang berkenaan. Mungkin bosan dengan apa yang berlaku atau merajuk dengan sikap segelintir ibubapa ungkapan tersebut diucapkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin, Menteri Pelajaran Malaysia.

Tidak mampu, tidak payah bayar. Siapa dah bayar, boleh ambil balik – Dato’ Seri Hishammuddin

Mmm.. macam-macam berlaku pada awal tahun baru ini. Lebih-lebih lagi dalam isu pendidikan negara. Sudah masuk hari kedua penggal persekolahan tahun ini, tumpuan sepatutnya ke arah pembelajaran anak-anak. Yang paling penting ialah dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Cuba kita renungkan jutaan ringgit yang kerajaan belanjakan dengan pemansuhan yura-yuran dan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) adalah terlalu tinggi. Rakyat kita masih mengharapkan subsidi. Sehinggakan pembayaran tambahan pun hendak percuma, sedangkan ibu bapa sanggup mengeluarkan wang ringgit untuk membeli rokok dan melanggan saluran televisyen berbayar.

Ibubapa jangan lupa dengan sumbangan besar kementerian setiap tahun. Berapa ramai ibubapa yang berterima kasih dengan sumbangan kementerian pendidikan sebanyak RM 2.5 billion setahun bagi mengurangkan bebanan mereka terhadap anak-anak yang pergi ke sekolah. Tambahan pula lebih ramai yang merungut dan tidak menghantar anak ke sekolah kerana bayaran tambahan. Saya rasa bayaran tambahan persekolahan bukan baru dilaksanakan pada tahun ini, sudah berpuluh tahun dah sebelum ini, masa saya mula bersekolah darjah satu, malahan pihak kementerian telah membenarkan sekolah-sekolah berunding dengan pihak PIBG untuk melaksanakan dan menetapkan jumlah bayaran tambahan ini. Kenapa tahun ini pula macam-macam perkara yang dibangkitkan mengenai yuran?