SISTEM PERSEKOLAHAN di negara kita sebenarnya tidak banyak berubah berbanding 50 tahun yang lalu. Sejarah persekolahan bermula pada abad ke-8 dan kemudiannya muncul institusi monastery. Pada abad ke-11 lahirlah sekolah untuk kanak-kanak perempuan dan convent. Dalam pada itu lebih banyak sekolah-sekolah diterajui oleh ahli-ahli industri yang memerlukan sumber tenaga manusia bagi industri mereka. Beberapa tahun kemudian kerajaan mula mengambil alih peranan tersebut yang tanpa disedari telah mengikuti jejak langkah keperluan ahli-ahli industri tersebut. Alangkah sedihnya kerana anak-anak kita sedang mengikuti sistem persekolahan sepertimana yang wujud pada zaman industri iaitu kerja-kerja yang semakin menghilang! (kini, anak-anak sekolah sepatutnya dilengkapkan dengan kemahiran E-dagang).

kids.jpgTujuan sekolah diwujudkan adalah untuk memberi pendidikan kepada anak-anak agar minda mereka terbuka, meluaskan komunikasi, bergaul, mengembangkan idea dan menjadi berani tampil di hadapan dan menjadi pemenang! Tetapi senario yang berlaku sekarang adalah: satu soalan oleh guru mesti dijawab dengan satu jawapan muktamad oleh pelajarnya (hal ini telah membantutkan idea-idea lain yang cuba disampaikan oleh pelajar sekolah). Sebenarnya ramai cendekiawan negara kita telah menyedari bahawa sistem persekolahan perlu dirombak kerana banyak menjurus kepada teknik menghafal dan mengingat serta mencurahkannya kembali atas kertas peperiksaan. Mungkin kita berjaya menghasilkan lebih ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR atau peratus pelajar yang mendapat 8A dalam PMR semakin meningkat dan begitu jugalah keadaannya kepada calon SPM dan STPM hinggalah bilangan pelajar yang berjaya memasuki IPT juga meningkat dari tahun ke tahun! Tetapi berapa peratuskah daripada mereka yang boleh memberikan SUMBANGAN yang berkesan kepada agama, bangsa dan negara? Hal ini berlaku akibat kesan jangka masa panjang para pelajar yang diajar supaya ‘berfikiran 1 hala’ dan takut untuk mencuba sesuatu yang berlainan daripada apa yang mereka pelajari di sekolah.

Anak-anak perlu dilengkapkan dengan persediaan bagi menguasai masa depan mereka dengan menggalakkan kemahiran berfikir bukannya sistem hafalan, pengingatan atau pengulangan. Sekiranya sistem persekolahan yang sama ini berterusan, percayalah negara kita akan dibebankan dengan masyarakat yang sentiasa mengharapkan pekerjaan disediakan buat mereka bukannya sebuah masyarakat yang menyediakan pekerjaan buat orang lain (malahan telah berlaku sekarang). Abad ke-20 menunjukkan bahawa ijazah dalam genggaman adalah amat penting tetapi bukannya pada abad ke 21 ini. Tahniah kepada anda yang mempunyai ijazah! Tetapi jangan menjadikannya sebagai penentu jumlah pendapatan anda atau apa yang anda boleh lakukan!

“JAUHKAN DARI PEMIKIRAN LURUS BENDUL, ITU AKAN MEMBANTU PELAJAR MENCAPAI KEMENANGAN…”Dr Paul MacCready, US inventor.

Note: Saya mengagumi pengasas ADABI dan Ramly Burger. Mereka adalah golongan yang KAYA IDEA walaupun tiada ijazah. Tahniah!