Thu 17 Apr 2008
Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad dari Utusan Online untuk renungan kita bersama …..
MARI kita fikirkan sesuatu yang pada hemat ramai mustahil berlaku. Fikirkan jawapan kepada persoalan ini; apakah gambaran anda jika harga minyak mencecah AS$200 setong? Apakah model dan polisi ekonomi kita sekarang sudah bersedia dengan kemungkinan ini?
Mungkin atau mustahil kepada persoalan di atas, kita perlu bersedia dengan strategi awal bagi menghadapi segala kemungkinan.
Bergantung dengan model dan polisi ekonomi yang dibina atas andaian harga minyak tidak mungkin mencecah AS$200 bermakna, kita sengaja mencari nahas untuk tidak bersedia!
Impak kenaikan harga minyak semakin menampakkan kesan negatifnya.
Kenaikan harga beras, jagung, gandum dan makanan-makanan ruji seluruh dunia berkait rapat dengan kenaikan harga minyak. Pengangkutan, tenaga elektrik, operasi mesin, bungkusan plastik dan banyak lagi, semuanya bergantung dengan industri gas dan petroleum.
Apa lagi kesan negatif yang dijangka menyusul selepas ini? Ramalan, dengan kenaikan harga barangan secara berterusan, tekanan inflasi akan menyebabkan institusi-institusi kewangan bertindak meningkatkan kadar riba (haram dari pandangan Islam).
TerbebanMereka yang berhutang, akan semakin terbeban dengan pertambahan beban hutang akibat daripada kenaikan kadar faedah.
Mereka yang tidak mampu membayar hutang rumah, kereta, kad kredit dan sebagainya, akan menyaksikan ‘aset-aset’ yang dahulu disangka “ana yang empunya”, diambil oleh pihak institusi kewangan dan kemungkinan akan dilelong (sedang berlaku di AS dalam krisis kredit subprima).
Kos dan beban hutang yang meningkat juga akan menyebabkan banyak syarikat terpaksa ditutup.
Maka, ramailah yang akan dibuang kerja dan jika ini berlaku dan diambil kira dengan semua keadaan di atas, alangkah peritnya masa hadapan.
Kerancakan globalisasi mungkin terencat akibat daripada keadaan tersebut. Ekonomi global mungkin bertukar menjadi ekonomi nasional (tempatan) di mana setiap negara akan berusaha mengeluarkan barangan keperluan setempat demi memastikan survival rakyat.
Lihatlah sekarang, betapa kita mengharapkan produktiviti Jelapang Padi Malaysia untuk keperluan beras negara.
Kemungkinan juga kita terpaksa memikirkan untuk mendapatkan tempat kerja dan sekolah anak yang berhampiran dengan rumah bagi mengurangkan penggunaan petrol.
Dan bagi mengelakkan penyusutan nilai simpanan, simpanan dalam bentuk emas dan komoditi adalah alternatif terbaik yang mesti difikirkan orang ramai.
Ketara di sini bahawa kemunculan dinar emas/wang emas untuk kembali menyerlahkan sinarnya semakin menjadi kenyataan.
May 5th, 2008 at 9:48 pm
Negara ini adalah negara pengeluar minyak..Jesteru kenaikkan harga minyak antarabangsa seharusnya sangat menguntungkan ekonomi bumi bertuah ini. Maka saya berpendapat kerajaan negara ini seharusnya bersedia untuk menambah jumlah subsidi kepada jutaan rakyatnya..Dan saya tidak nampak pula jika penambahan subsidi ini akan mengurangkan kerancakkan pembangunan negara..Pendek kata, jika bijak bagi sebuah kerajaan itu untuk merancang, sudah pasti kerancakkan pembangunan itu akan terus rancak..Dan jika kerajaan yang ada pada hari ini tidak mampu untuk melaksanakannya..Nilailah semula undi kita kepada mereka..
May 5th, 2008 at 9:52 pm
Tapi jangan pula kita terlalu selesa dengan subsidi ini…Berniagalah kita semua…
May 12th, 2008 at 12:20 pm
Malaysia adalah pengeluar minyak. tetapi Malaysia adalah negara yang mepunyai harga minyak termahal di kalangan negara pengeluar minyak seluruh dunia. yang peliknya Malaysia ada banyak lagi sumber-sumber ekonomi lain seperti pelancongan, pertanian dan macam-macam lagi sedangkan negara pengeluar minyak lagi bergantung pada satu sumber sahaja iaitu MINYAK tetapi harga minyak mereka lebih murah. jadi saya berharap harga minyak tidak akan naik lagi. cukuplah penderitaan rakyat negara ini. Bantulah kami yang membayar cukai ni. wassalam