Ingat masa dulu-dulu, pergi kedai dengan abah, minta dia belikan TORA, dulu harganya RM1 saja. Itu pun kena marah dengan dia. Dia cakap, saya tidak boleh ikut lagi bersamanya ke kedai, buat habiskan duit. Huhu. Saya mana tahu masa dulu, yang penting saya dapat mainan yang berada di dalamnya. Nampaknya iklan TORA pada selingan kartun-kartun seperti Doraemon amat berhasil ;). Tetapi sekarang jauh bezanya. Harga TORA pun dah mencecah RM2. Kenaikan harga 100%. Lagipun budak sekarang mana pandang TORA. Semuanya demand tinggi. Hendak PSP (Playstation Portable), PS3, mainan-mainan yang berjenama dan lain-lain lagi. Ada yang di antaranya beratusan ringgit. Jikalau keluarga berkemampuan, semua kehendak akan dituruti oleh ibu bapa. Jikalau keluarga yang sederhana, macam mana?

Tidak kira anda berkemampuan atau tidak, anda perlu mengajar ilmu kewangan kepada golongan muda ini (adik-adik, anak-anak anda). Sebab anda yang telan garam dulu daripada mereka. Sudah tentu golongan muda ini mempunyai kadar simpanan yang negatif. Bukan kata hendak menyimpan, malah meminta kepada ibu bapa. Apa yang perlu anda ajarkan kepada mereka adalah prinsip yang mudah mengenai kewangan. Ajar mereka seawal yang boleh. Makin awal makin baik. Sekitar 3 atau 4 tahun, apabila kanak-kanak kenal erti duit.

Kebanyakan golongan muda ini belajar melalui pemerhatian. Mereka akan buat apa yang kita lakukan. Perlakuan kita diperhati. Apabila kita membeli, mereka melihat. Jangan terperanjat apabila budak berumur 3 tahun, tahu pasal kad kredit. Pernah saya tanya, anak kawan saya yang sedang syok bermain PS2. Siapa yang belikan PS2 ini? Dia jawab ‘Papa. Papa guna kredit kad’. Terkejut saya, budak-budak pun tahu kredit kad. Budak-budak sekarang lain. Kita tanya satu soalan, panjang juga jawapannya. Mungkin bagi dia, kredit kad adalah satu matawang. Jika pemahaman ini tidak diubah, maka susah di kemudian hari. Jadilah contoh kepada anak-anak dan adik-adik anda dalam hal pengurusan kewangan.

Cara mengajar kanak-kanak dalam pengurusan kewangan ialah dengan membeli permainan yang berunsurkan kewangan. Banyak di pasaraya menjual pelbagai board games yang bagus. Masa sekolah rendah dulu, saya ada satu set Sahiba. Memang syok la dulu, main dengan abang-abang, kadang-kadang satu keluarga. Permainan seumpama ini bukan sahaja mengajar malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama ahli. Selain Sahiba, Cashflow for Kids from Robert Kiyosaki merupakan satu permainan yang mengajar selok belok kewangan. Belikan juga mereka buku-buku mengenai pengurusan kewangan untuk kanak-kanak yang banyak di pasaran sekarang.

Mungkin anda boleh luangkan satu malam berkumpul dengan mereka, mengajar serba sedikit mengenai kewangan – family finance night – Saya belum praktikan ini lagi. Tetapi saya rasa dengan ada masa seperti ini, ada sekeluarga boleh berbincang mengenai kedudukan ekonomi keluarga sekarang. Negara kita setiap tahun ada belanjawan. Kenapa kita kita melakukan setiap minggu belanjawan kita sekeluarga. Bentangkan kepada kanak-kanak, agar mereka sedar apa yang berlaku.