Diam tak diam lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2010.  Bagaimana dengan azam pada tahun ini? Adakah semua terlaksana? Kalau belum, masih sempat untuk berbuat sesuatu. Maklumlah pada akhir tahun macam sekarang, saya dan Ain sibuk untuk membuat pengiraan perbelanjaan & keuntungan perniagaan sebelum bulan Jun tahun depan untuk taksiran cukai. Sibuk cari-cari resit yang mana yang penting sebagai bukti dan dikemas kini di dalam akaun.

Baiklah, kali ini saya ingin memberikan tips untuk bajet ringkas di dalam perniagaan. Ini bagi mengingatkan diri saya juga, yang sering terlupa mengenai topik yang penting dalam perniagaan sendiri.

  1. Tulis penyata kewangan supaya anda boleh memantau keadaan dan juga menetapkan matlamat kewangan anda.
  2. Tetapkan target untuk hasil jualan produk. Buat anggaran setepat yang mungkin.
  3. Melalui pengalaman anda sendiri,  anggaran kos barang dijual -COGS- (contohnya 70% jualan) di TOLAK dengan target jualan produk untuk mendapatkan margin kasar.
  4. Buat ramalan mengenai perbelanjaan anda. Perbelanjaan boleh ubah (cth. belanja perjalanan, promosi, komisen yang mengikut keadaan jualan semasa) Perbelanjaan tidak boleh ubah (cth. sewa pejabat, pinjaman). TOLAK perbelanjaan ini dengan margin kasar supaya anda memperolehi anggaran pendapatan bersih.
  5. Pecahkan bajet tahunan kepada suku tahunan, maksudnya anda akan memantau perjalanan perniagaan dalam setiap tiga bulan untuk memastikan masalah dan buat pembetulan.

Selamat membajet!