Mengenang zaman 1980-an…..

reading.jpgAntara kenangan yang tak penah saya dapat lupakan ialah buku-buku yang terawal pernah saya baca semasa kecil (selain daripada buku ABC, 1,2,3 lah ye). Komik pertama yang ayah belikan semasa saya berumur 5 tahun bertajuk ‘KARTUN’. Ia adalah komik yang tiada dialog tetapi saya sayangkan komik ni, sebab payah nak dapat beli (ummi tak kasi ayah belikan komik, nanti anak jadi kartun katanya). Saya baca komik tu berulang kali sampai lunyai komik tu. Dalam masa yang sama, jiran saya ada memberi hadiah beberapa buah buku yang saya boleh hafal setiap satu ayatnya bertajuk “BUAYA-BUAYA DI SUNGAI SOOK”, “BAHTERA NABI NUH” dan “UNTA NABI SALLEH”. Sama juga, buku-buku ni memang saya bawa ke sana ke mari sehinggakan saya pernah termuntah atas buku-buku kesayangan saya ni (maklumlah masa demam pun rajin baca buku). Gurau je….

Banyak lagi buku-buku lain yang ummi dan ayah belikan. Buku yang saya paling tertarik ialah “INDAHNYA PELANGI” kerana ilustrasinya sangat cantik. Semua buku yang saya baca pada usia 5 tahun nipis sajalah, standard budak tadika lah katakan. Ummi suka bawa saya ke ekspo-ekspo buku dan belikan buku cerita serta majalah-majalah kanak-kanak seperti Bambino, Bujal dan macam-macam lagi! (orang seusia saya mesti tahu semua majalah yang popular masa tu).

Tetapi paling saya ingat ialah buku tebal pertama yang saya baca masa darjah 1. Saya ingat lagi sebab masa tu pertama kali nak baca buku tebal (sekitar 200 halaman) bertajuk MISTERI DI RIMBA RAYA (terjemahan siri penyiasatan Hardy Boys). Selaku budak Darjah 1 zaman 1980an, saya rasa macam tak mampu nak baca buku tebal, tapi ummi saya ada taktik, dia pun beli buku yang tebalnya sama (terjemahan siri penyiasatan Nancy Drew), dan ajak saya gilir-gilir baca buku tu dengan dia. Kami mesti sama-sama habiskan baca buku-buku tu. Sejak tu saya makin suka membaca buku-buku yang tebal. Bila saya fikirkan sekarang, pandai juga ummi memupuk minat membaca dalam diri anaknya sejak kecil. Iaitu memberi contoh agar anaknya ikut membaca. Hingga ke zaman adik saya, buku-buku nipis (macam cerita Si Luncai, Pak Pandir dan sebagainya) yang ummi belikan untuk adik, ummi akan baca dulu sebab nak beri contoh kepada adik supaya minat membaca (walaupun buku-buku tu semuanya bukan lagi standard untuk ummi baca). Sudahnya adik saya jadi ulat buku dan lebih advance daripada ummi sebab suka novel-novel English.

Kesimpulannya, didik lah anak melalui tauladan dan bantulah mereka memupuk minat membaca. Tahukah anda, berdasarkan kajian (saya perolehi fakta ni daripada sebuah buku motivasi) majalah-majalah melayu terlaris di Malaysia ialah yang berunsurkan hiburan, artis dan glamorous (anda pun tahu majalah-majalah begini ada pelbagai jenis di kedai buku sebab pembelinya ramai)! Jadi tak salah kalau saya katakan, majalah inilah yang membentuk kebanyakan minda anak-anak Melayu. Sedihnya!