Saya ingin mengulas 2 buah buku yang saya yakin ramai usahawan dan bakal usahawan telah membacanya. Sesuai dengan tajuknya Memulakan Bisnes Sendiri oleh Ainon Mohd., tulisan beliau menceritakan beberapa kisah dan tragedi dalam dunia bisnes sebenar. Tulisan beliau memang telus dan mencabar semangat orang-orang yang hendak memulakan perniagaan. Dalam banyak-banyak bab yang ditulis, saya paling tertarik dengan kenyataan beliau bahawa jutawan-jutawan di seluruh dunia mempunyai satu sifat sepunya iaitu mahukan kebebasan peribadi atau tidak mahu bekerja makan gaji selama-lamanya. Mengikut kajian, sekiranya seseorang itu berniaga kerana hendak banyak wang atau semata-mata hendak jadi jutawan, dia bakal menjadi usahawan yang gagal. Para jutawan muncul kerana tujuan asal mereka yang tidak suka makan gaji atau bekerja di bawah arahan orang lain. Sikap untuk memerdekakan diri dan jiwa daripada dibelenggu arahan majikan menyebabkan lahirnya jutawan-jutawan di seluruh dunia. Sekiranya seseorang itu berniaga untuk mendapatkan banyak wang, ia bakal gagal kerana apabila wangnya telah banyak, dia cenderung menggunakan wang yang selama ini diidam-idamkan itu dan akhirnya kehabisan wang yang sepatutnya digunakan untuk memusingkan modal. Minat yang mendalam untuk berniaga menyebabkan para jutawan ini yang dahulunya banyak kali gagal, bankrap malahan dicemuh masyarakat akhirnya menjadi peniaga yang cemerlang hasil kesabaran dan ketabahan diri kerana bukan wang yang menjadi objektif mereka untuk berniaga.

Sama juga sepertimana yang dinyatakan oleh Anne Wan Sheng, seorang mualaf Cina dalam bukunya Rahsia Bisnes Orang Cina, beliau menulis bahawa dalam masyarakat Cina, seorang yang makan gaji itu dipandang rendah oleh kaum kerabat dan jiran tetangga. Sesiapa yang berniaga (sepenuh masa atau berniaga part time) dipandang tinggi dan dihormati kaum kerabat walaupun perniagaan yang dijalankan kelihatan tidak begitu menguntungkan atau hanya secara kecil-kecilan. Ini adalah kerana wang bukan objektif utama orang cina berniaga tetapi kerana bisnes merupakan pekerjaan tradisi keturunan mereka dan melambangkan maruah diri yang sanggup bekerja keras. Apatah lagi sekiranya mereka berjaya dalam bisnes, tentunya maruah mereka semakin dipandang tinggi.

Kepada mereka yang ingin menjadi usahawan, ada banyak lagi buku-buku yang menceritakan pelbagai ragam kegagalan dan kejayaan dalam dunia bisnes. Wajarlah sekiranya kita mengambil iktibar daripada kisah-kisah mereka dan dijadikan panduan untuk kita memacu kejayaan. Walau apapun, jangan jadikan faktor bangsa, agama atau kisah-kisah ngeri tentang kegagalan perniagaan orang lain atau cemuhan orang sebagai penghalang kepada kita untuk terus berniaga. Percayalah, itulah yang semakin menguatkan semangat kita untuk terus mencuba dan akhirnya berjaya!

”The SECRET of my success is I don’t afraid of others success BUT support them while bulid up my own….” Mr Winson G. O. – General Manager of Lifestyles Asia Pasific Sdn. Bhd.