Ini berdasarkan apa yang saya lalui dan lihat sewaktu saya berjinak-jinak dalam pelaburan ini. Saya bersyukur kerana telah ramai rakyat Malaysia yang sedar bahawa betapa pentingnya menabung dan melabur. Ingat! Melabur hendaklah pada tempat yang betul. Saya ulang sekali lagi; jangan melabur dalam pelaburan internet, IT’S SCAM. Ok, cukuplah tu. Ramai yang telah membuat artikel pasal bahaya pelaburan internet. Kalau saya hendak huraikan, rasanya macam terlambat.

Sekarang ini, banyak institusi perbankan dinegara kita memberi pinjaman kepada rakyat untuk melabur di dalam ASB. Tak cukup dengan helaian brochure, ditaburi dengan janji manis untuk membuat pinjaman dan melabur di dalam ASB. Saya sendiri pun tidak tahu kepastiannya, sejauh mana keberkesanan perkhidmatan ini dan membawa keuntungan kepada pelabur.

Bagi pendapat saya, setelah membuat penelitian, pelaburan ASB melalui pinjaman amatlah berisiko. Ini kerana julat di antara faedah dan pulangan amatlah sedikit sekitar 3% . Sebagai contoh, kadar faedah ialah 9% dan kadar pulangan sebanyak 12% ( Itu pun kalau mencecah kepada 12%). Jika julat ini berkekalan sehingga anda menyelesaikan pinjaman anda, maka anda membuat duit, jika tidak, perkara yang sebaliknya akan berlaku kepada anda.

Melalui pemerhatian saya sejak kebelakangan ini, kadar pulangan bagi ASB adalah menurun daripada 12% turun kepada 10% dan kemudiannya 9 %. Kadang-kadang ada sewaktu ketika, kadar pulangan adalah lebih rendah berbanding kadar faedah. Ini menyebabkan anda kehilangan duit. Sekiranya anda pasti julat antara kadar faedah dan pulangan melebihi 5% dan tidak berubah, anda boleh membuat pinjaman. Jikalau julatnya kecil, anda mendapat pulangan yang sikit dan juga menanggung rugi yang banyak.

Bagi sesiapa yang sudah membuat pinjaman untuk pelaburan ASB, anda boleh teruskan pelaburan anda. Saya tidak menghalang. Tetapi anda mesti berdisplin tidak sekali-kali mengeluarkan hasil pulangan yang anda perolehi untuk berbelanja. Sebaiknya anda laburkan semula duit hasil tersebut di dalam ASB. Satu lagi nasihat saya, anda hendak membayar lebih daripada bayaran bulanan anda, sekiranya bayaran bulanan anda sebanyak RM231, anda mestilah membayar RM250 sebulan, dan setiap tahun anda membuat penambahan ‘extra money’ ke dalam akaun anda :) Dengan cara ini, anda akan mendapat keuntungan yang lebih, tetapi anda tetap membayar faedah kepada bank dengan jumlah yang banyak.